Manfaat bina Menara Warisan


KETIKA Tun Dr. Mahathir Mohamad hendak membina jambatan Pulau Pinang dan Menara Berkembar Petronas atau Kuala Lumpur City Center (KLCC) dahulu, teruk beliau dibidas dan dikritik.

Kini apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan projek Menara Warisan Merdeka bernilai RM5 bilion di lokasi Stadium Negara dan Stadium Merdeka, beliau turut dihentam oleh pihak pembangkang.

Pembinaan menara yang diumumkan oleh Najib ketika membentangkan Bajet 2011 itu dikritik kerana ia disifatkan sebagai projek membazir. Sehinggakan beberapa pemimpin pembangkang dan sebilangan laman web begitu ghairah mengkritik cadangan projek tersebut.

Elok diingatkan sejarah ketika reaksi pembangkang terhadap pembinaan Menara Berkembar KLCC dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Tanpa jemu siang dan malam serta berbulan-bulan lamanya pihak parti pembangkang memainkan isu pembinaan kedua-dua mercu tanda negara ini. Mereka menganggap pembinaan kedua-dua mercu tanda masa depan ini sebagai satu pembaziran wang negara.

Namun kini, kumpulan pengkritik itu yang sering menggunakan kemudahan ini. Di bawah KLCC tempat mereka berniaga dan bekerja untuk mencari rezeki. Di dalam KLCC tempat mereka bertemu untuk berkomplot menjatuhkan kerajaan. KLCC tempat mereka lepak dan membeli-belah.

KLIA pula menjadi hub transit mereka ke negara luar untuk mengutuk dan memburuk-burukkan tanah air sendiri. Sebagaimana KLCC, lihatlah betapa ramainya penyokong-penyokong pakatan pembangkang mencari rezeki mereka di KLIA.

Apakah perasaan mereka yang kerap membantah sesuatu yang akhirnya memberikan faedah kepada mereka untuk jangka masa panjang?

Begitu juga ketika kerajaan mahu membina Jambatan Pulau Pinang dahulu, ramai yang mengkritik, khususnya parti pembangkang. Tetapi sekarang orang Pulau Pinang minta jambatan kedua.

Kerajaan mempunyai alasan yang cukup kukuh untuk melaksanakan pembinaan menara tersebut. Pembinaan bangunan itu bakal menjadi lambang kemodenan dan kemajuan negara di samping dapat memacu pembangunan ekonomi negara.

“Pertamanya, kita nak satu bangunan yang menjadi lambang bukan sahaja moden tapi negara maju, kita juga nak mencetuskan perkembangan ekonomi... Banyak kerja-kerja kontrak dan sebagainya yang boleh kita agihkan untuk menggerakkan kegiatan ekonomi.

“Kawasan itu boleh menjadi pusat perniagaan yang menempatkan peniaga-peniaga bumiputera dan bukan bumiputera. Ia juga boleh menjadi pusat tarikan yang boleh memberi keuntungan,” kata Perdana Menteri.

Najib sudah menjelaskan cadangan membina Menara Warisan di ibu negara itu bukan projek pembaziran, sebaliknya mendatangkan keuntungan kepada rakyat dan negara.

Sebenarnya pemimpin pembangkang dan pengkritik tidak faham langsung pengumuman Najib selaku Menteri Kewangan tentang pembinaan Menara Warisan Merdeka itu.

Pembinaan Menara itu akan dijalankan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB). Tiada sebarang peruntukan daripada pihak kerajaan untuk pembinaan menara pencakar langit tersebut. Semuanya akan dibiayai oleh PNB. Dalam kata lain, itu ialah projek PNB.

Projek berkenaan melibatkan tanah milik kerajaan. Tapak Menara Warisan Merdeka itu merangkumi kawasan tanah Stadim Negara dan Stadium Merdeka.

Memandangkan penglibatan tanah kerajaan itu, maka Perdana Menteri dengan sikap bertanggungjawab yang dipikulnya perlu menjelaskan bahawa kawasan itu akan dikormersialkan untuk memenuhi permintaan semasa dan menjana pembangunan sosio-ekonomi ibu negara yang semakin padat dan berkembang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman telah menjelaskan kedudukan sebenar projek Menara Warisan Merdeka bernilai RM5 bilion yang cuba dijadikan satu isu oleh pembangkang sebagai projek membazir.

Hamad Kama Piah menjelaskan PNB tidak akan menggunakan wang pelabur unit amanah dan juga wang kerajaan untuk projek berkenaan. Sebaliknya, projek tersebut akan dimajukan menggunakan wang hasil tabungan PNB sendiri.

PNB beli tanah itu pada harga RM310 juta pada tahun 2000 dari Danaharta dan projek Menara Warisan itu diluluskan oleh lembaga pengarah PNB pada tahun 2004.

Hamad Kama Piah menjangka projek itu akan mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan. Pembinaannya dijangka dimulakan tahun depan dan siap pada 2015.

Sememangnya projek-projek mega sebegini mempunyai kelebihan dalam tumpuan merancakkan ekonomi.

Secara tidak langsung, ia bakal mewujudkan segi tiga emas baru di Kuala Lumpur. Pastinya ia akan merancakkan harga hartanah di sekeliling projek Menara Warisan ini dan seterusnya mewujudkan lebih banyak lagi peluang perniagaan.

Di antara kesan positif yang lain, sudah pastinya ia akan menjadi satu ikon baru negara, yang bakal menggantikan Menara Berkembar Petronas dan seterusnya dapat menarik perhatian dunia. Secara tidak langsung, ia akan menarik masyarakat dunia untuk berkunjung dan berbelanja di Malaysia, dan mewujudkan lagi banyak peluang perniagaan yang lain.

Sebaliknya, pihak pembangkang hanya aktif memanipulasi minda rakyat agar terpesong dari kebenaran. Mereka cuba meracuni pemikiran rakyat demi survival politik mereka ke Putrajaya.

Kerajaan Barisan Nasional sering memikirkan masa depan dan berpandangan jauh tentang masa depan rakyat dan negara. Berbeza caranya dengan sikap pembangkang, mereka terus membangkang segala tindakan kerajaan meskipun mereka sendiri tidak tahu apa yang mereka bangkangkan.

Sekiranya projek Menara Warisan ini berjaya, sememangnya ia akan membuatkan para pelabur amanah saham PNB tersenyum lebar. Sedikit sebanyak dapat meningkat pemberian dividen kepada pelabur-pelaburnya.

Setiap pelaburan memang ada risiko. Namun dengan track record yang sejak 1981, pengurusan PNB diyakini mampu menguruskan Projek Menara Warisan Merdeka ini dengan jaya.

My Visitors

free counters