Manusia rugi jika umur panjang tidak dimanfaat

NIKMAT kehidupan yang dikurniakan adalah gambaran bahawa Allah amat mengasihi dan menyayangi hamba-Nya. Kesusahan hilang dengan kesenangan, kejahilan lenyap dengan pengetahuan, kesakitan terhapus dengan kesihatan dan kegelapan berganti gemerlapan.

Terlalu banyak nikmat dilimpahkan kepada isi dunia, tinggal lagi kita memanfaatkan setiap satunya dengan harapan untuk mendapat keberkatan daripada-Nya. Ada manusia cuba menghitung nikmat, membandingkannya dengan kesusahan hidup dihadapi, lalu ternyata kemewahan Allah kurniakan tidak terkira dengan jari.

Nikmat melihat, mendengar, merasa, berfikir malah berkongsi kehidupan dengan penuh kasih sayang sesama makhluk Allah lainnya tidak akan diperoleh jika tiada kuasa yang menganugerahkan. Tentulah kita tidak boleh menyesali kepayahan dan kesukaran hidup di dunia, malah anggaplah ada hikmah menanti sementara iman diuji, tetapi berusahalah untuk mencari kesenangan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu, tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah An-Nahl, ayat 18)

Ada kala kita tidak sedar apa yang dimiliki hari ini adalah nikmat bukannya sedia ada untuk setiap manusia kerana ada yang tidak dapat merasainya. Sebab itulah kita tidak harus lupa mensyukuri kemurahan hati Allah menganugerahkan kehidupan lengkap buat makhluk-Nya, cuma ada kemudahan yang Allah sediakan tidak dapat dimanfaatkan akibat sikap manusia tidak tahu menghargai nikmat.

Sikap manusia yang mudah lalai dan lupa juga menyebabkan nikmat dikurniakan tidak memberi apa-apa faedah kepada manusia sendiri. Usia yang panjang sepatutnya diisi dengan kebajikan dan faedah kepada diri sendiri serta orang lain tetapi ada pula menghabiskan kehidupan dari awal hingga saki bakinya dengan judi dan zina.

Tidak pula terkilan dengan kezaliman serta kejahatan meragut dan merompak, bahkan ada kehidupan orang lain yang terkesan dengan kejahilan itu.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak berganjak kedua-dua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga ia disoal mengenai umurnya pada perkara apakah ia habiskan, dan ilmunya untuk apakah ia gunakan, dan harta bendanya dari manakah ia peroleh dan pada apakah ia belanjakan, dan juga tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Adanya tenaga dan akal, gunalah untuk mencari rezeki halal. Apa salahnya berasa nikmat yang Allah berikan percuma untuk dilaburkan bagi mendapat nikmat lainnya. Buat orang yang berhati-hati menjaga amanah Allah, mereka tidak akan alpa dengan kemewahan dunia kerana mereka tahu semuanya adalah pinjaman saja.

Sebaliknya, mereka berusaha meningkatkan limpahan rahmat dan nikmat itu supaya nikmat Allah yang ada padanya dapat dikongsi dengan orang lain yang kurang berkemampuan, memanfaatkan nikmat yang Allah kurniakan kerana pelbagai sebab.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan ingatlah bahawa kehidupan dunia ini meliputi segala kesenangan dan kemewahan, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan: Dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya, kalaulah mereka mengetahui hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat.” (Surah al-Ankabut, ayat 64)

Orang yang tidak melupakan hari akhirat walaupun dunia ini menjanjikan seribu kemewahan adalah orang yang tidak membazirkan nikmat Allah dengan keangkuhannya sebagai manusia. Memusnahkan imbangan alam, mengotorkan sumber air, membiarkan tanah tanpa tanaman dan menzalimi sesama makhluk Allah lainnya untuk nikmat sementara adalah petanda orang yang tidak mengetahui hakikat kurniaan nikmat dunia untuk menuju kehidupan akhirat yang lebih senang dan mewah.

Sambutan ulang tahun kelahiran saban tahun diraikan haruslah dijadikan kayu pengukur sama ada nikmat usia dikurniakan benar-benar kita hargai. Antaranya, jantung yang masih berdegup, adakah kita terus menjadi hamba yang taat atau ingkar, adakah kita menjaga hubungan sesama insan dengan baik atau kita menyusahkan orang lain, adakah kita banyak memanfaatkan kurniaan Allah atau kita membinasakannya dan adakah kita berbaloi diizinkan terus bernafas?

Daripada Abdul Rahman bin Abi Bakrah daripada ayahnya, seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah! Siapakah sebaik-baik manusia? Berkata Rasulullah: Sebaik-baik manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya dan umur itu dipergunakan untuk berbuat kebaikan. Berkata lelaki itu lagi: Siapakah sejahat-jahat manusia? Rasulullah berkata: Sejahat-jahat manusia ialah orang yang dipanjangkan umurnya tetapi digunakannya untuk berbuat kejahatan.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Usia yang panjang adalah satu nikmat tidak ternilai, dengannya kita terus dapat beribadat, merasai kehidupan, berkongsi kebahagiaan dan merencana masa depan. Jika nikmat usia diambil semula pemiliknya, maka kita tiada peluang untuk terus menjadi hamba yang taat dan bersyukur.

Sebab itulah jika kita beringat bahawa setiap yang bermula itu ada akhirnya, maka usia adalah satu peringatan sangat bermakna. Firman Allah yang bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang sudah ditetapkan, maka apabila datang tempohnya, tidak dapat dikemudiankan walau sesaat pun dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” (Surah al-‘Araaf, ayat 34)

Justeru, jika kita mengerti bahawa nikmat Allah yang satu ini tidak boleh dirayu jika Allah menghendakinya semula, apalah daya kita. Sedangkan bertahun-tahun lamanya Dia berikan kita peluang dan ruang untuk memanfaatkannya demi kehidupan lebih abadi.

Janji kosong juga tidak mampu menukar qada’ dan qadar-Nya, dan kita sepatutnya tersedar dari awal dan tahu bahawa kematian adalah pengakhirnya. Sedang pintu taubat sentiasa terbuka, janganlah kita longlai usaha untuk menjadi insan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu sambil merayu: Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari azab ini, kami akan mengerjakan amal soleh yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan. Lalu Allah menempelak mereka, bukankah Kami sudah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula sudah didatangi oleh Rasul Kami yang memberi amaran. Oleh itu, rasalah azab seksa kerana orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat memberikan pertolongan.” (Surah Faathir, ayat 37)

My Visitors

free counters