Tanpa Sejarah, tamatlah kisah manusia
AKHIRNYA subjek Sejarah atau Tawarikh mendapat tempat sewajarnya dalam sistem pendidikan negara. Setelah diumumkan sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013, menyusuli pula ia subjek teras di sekolah rendah bermula 2014.
Sejarah itu fakta dan tidak menipu sesiapa. Sarjana Barat, Robert V. Daniels memetik sejarah sebagai memori pengalaman sekelompok manusia. Jika ia dilupakan atau dibiarkan, maka tamatlah kisah tentang manusia. Tanpa sejarah, kita tiada pengetahuan terhadap siapa kita atau bagaimana kita menjadi seperti ini.
Sejarah adalah rakaman masa lalu yang menggambarkan emosi, nilai, kesesuaian yang membolehkan hidup kita lebih bermakna, untuk terus berjuang atau untuk mati.
Dengan mengkaji peristiwa-peristiwa masa lalu, maka akan mewujudkan semangat ketaatan kepada negara, agama mahupun kelas-kelas dalam masyarakat.
Justeru, sejarah tidak dapat dipisahkan dari rentetan kehidupan manusia masa lampau hinggalah kini. Ia merupakan satu interaksi berterusan yang tiada penghujungnya.
Hakikatnya, kepentingan sejarah telah dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran al-Karim. Ulama menganggarkan kira-kira satu per enam daripada al-Quran terdiri daripada kisah-kisah sejarah.
Salah satu contoh ayat al-Quran yang menyentuh tentang sejarah yang disebut sebagai 'kisah' menerusi terjemahannya: ''Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan al-Quran ini kepadamu, dan sesungguhnya kamu sebelum (Kami mewahyukan)nya adalah termasuk orang yang belum mengetahui."
Oleh itu, sewajarnyalah subjek Sejarah ini nanti memberi tumpuan kepada topik Perlembagaan Persekutuan serta kemerdekaan tanah air bagi menyuntik semangat cintakan negara di kalangan generasi muda. Barangkali, ada yang sudah lupa akan pahit-jerih Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memperjuangkan kemerdekaan negara. Tunku tidak berhasil memperolehnya pada 1954 ketika mengetuai satu rombongan ke England.
Pada tahun berikutnya, Pilihan Raya Persekutuan umum diadakan dan Parti Perikatan menang 51 daripada 52 kerusi. Dengan kemenangan itu, Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri pertama Tanah Melayu dan mengetuai satu lagi rombongan pada 1955. Akhirnya, England memberi kemerdekaan tanah air pada 31 Ogos 1957, yang yang mana Tunku mengisytiharkan buat pertama kali pada 20 Februari 1956 di Bandar Hilir, Melaka.
Topik Perlembagaan Persekutuan juga harus diberi keutamaan dalam subjek teras Sejarah kelak. Profesor Robert Park, ahli sosiologis hubungan etnik dalam bukunya The Nature of Race Relations (1950) menegaskan, hubungan etnik secara lumrahnya akan wujud bila dua atau lebih kumpulan yang berbeza budaya, agama dan adat berada dalam ruang yang sama. Dua kerangka utama yang sering digunakan untuk memahami hubungan etnik ialah model asimilasi dan juga model pluralisme.
Asimilasi merujuk kepada usaha untuk meningkat kebersamaan dan keserasian antara etnik di sesebuah negara. Justeru, Perlembagaan Persekutuan dibentuk untuk mewujudkan kebersamaan tersebut. Penarafan bahasa Melayu sebagai entiti rasmi negara adalah strategi untuk membina kebersamaan tersebut.
Sejarah dalam erti kata lain digunakan untuk mengetahui masa lampau berdasarkan fakta-fakta dan bukti-bukti yang sahih.
Dengan itu, akan timbul sikap waspada dalam diri semua kelompok masyarakat kerana melalui pembelajaran Sejarah, ia dapat membentuk sikap tersebut terhadap permasalahan yang dihadapi agar peristiwa-peristiwa yang berlaku pada masa lampau dapat dijadikan pengajaran yang berguna.